Pasca Gersang Gersang_(kumpulan_muzik)

Setelah Gersang dibubarkan, boleh dikatakan hampir kesemua anggotanya mempunyai kerjaya masing-masing. Tidak kurang juga ada yang menimba ilmu untuk mengukuhkan diri dalam bidang muzik yang diceburi.

Setelah pulih dari pembedahan tonsil dan berehat dari industri selama hampir 6 tahun, Man Bai telah menimba ilmu di syarikat Roslan Aziz Production (RAP) dalam bidang nyanyian dan urusan belakang tabir. Kemudian, beliau membuat kemunculan semula sebagai artis solo dan mengeluarkan 3 album iaitu Man Bai (1995), Positif (1999) dan Inspirasi (2011). Beliau juga telah memenangi anugerah Artis Baru Solo Lelaki Terbaik untuk album solo yang pertama itu yang berjudul Man Bai. Pada bulan Julai 2011, beliau telah mengeluarkan album baru iaitu album solo yang ketiga dalam bentuk mini album yang memuatkan 8 lagu; 5 lagu baru dan 2 lagu lama iaitu 1 lagu 2 versi dari album solo iaitu 2 versi lagu Kau Ilhamku dan 1 lagu lagi dari album Gersang yang pertama iaitu album berjudul Gersang. Album solo ketiga Man Bai itu diberi judul Inspirasi. Di dalam masa yang sama 1 lagu baru dinyanyikan di dalam album kumpulan Pop Shuvit nyanyian mereka bersama Man Bai. Man Bai juga ada pernah berlakon dalam beberapa filem seperti Layar Lara, Syukur 21, Puteri Gunung Ledang dan sebagainya serta iklan tv seperti iklan Coca Cola.[3] Lakonan Man Bai mendapat pujian dan telah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Harapan Terbaik.

Man Greng pula telah menubuhkan kumpulan Keno, namun tidak mendapat sambutan. Beliau kemudiannya menyertai kumpulan Fly 'N' Colors dan kini mempunyai kumpulan sendiri iaitu Havoq Band yang aktif membuat persembahan di kelab. Beliau juga mempunyai perniagaan sendiri dengan menubuhkan syarikat studio yang diberi nama Havoq Music Studio. Beliau juga pernah berlakon dalam filem Kanta Serigala.

Jojet kemudiannya kembali menyertai kumpulan Wings dari tahun 1991 sehinggalah beliau mengundurkan diri pada tahun 1994. Selepas itu, beliau kerap menjadi pemain dram undangan untuk kesemua album solo Awie yang juga rakan baiknya semasa zaman persekolahan dahulu, seterusnya menubuhkan kumpulan Dragon Malaya. Beliau juga ada berlakon dalam filem Pemburu Bayang, Putera, Sembilu II, Tragedi Oktober, Merah, Nafas Cinta dan Bara.

Kid pula telah menyertai kumpulan Search pada tahun 1989, ketika Gersang masih belum dibubarkan lagi. Beliau juga pernah berlakon dalam filem Isabella dan Fenomena. Pada waktu inilah beliau mula diiktiraf oleh peminat sebagai salah seorang gitaris terbaik dalam industri muzik tempatan berikutan petikan gitar solo lagu malar segar Search, Isabella yang cukup 'berhantu' sekaligus meraih kejayaan terbesar dalam pertandingan akhir Juara Lagu '89. Pada tahun 2000, beliau menyertai kumpulan Dragon Malaya bersama rakannya, Awie (vokal) dan Jojet (dram) setelah Search berpecah berikutan pengunduran vokalisnya, Amy pada penghujung 90-an.

Acis pula menyambung pelajaran dalam bidang muzik di ITM (kini UiTM) Shah Alam, seterusnya ke Berklee College of Music, Amerika Syarikat. Setelah tamat pengajian, beliau menjadi pemuzik sepenuh masa dan sering mengiringi artis dalam konsert-konsert berskala besar.

Ajib yang menggantikan Kid pada tahun 1989 juga masih aktif dalam muzik dan banyak menerima jemputan sebagai pemain gitar utama. Beliau kerap mengadakan kelas untuk mengajar teknik bermain gitar di Singapura.

Rujukan

WikiPedia: Gersang_(kumpulan_muzik) http://duniarockmalaysia.blogspot.com/2011/05/kala... http://melayurock.blogspot.com/2007/07/gersang-ger... //scholar.google.com/scholar?q=%22Gersang%22+kumpu... //www.google.com/search?&q=%22Gersang%22+kumpulan+... //www.google.com/search?as_eq=wikipedia&q=%22Gersa... //www.google.com/search?q=%22Gersang%22+kumpulan+m... //www.google.com/search?tbs=bks:1&q=%22Gersang%22+... http://www.bharian.com.my/articles/Masihakuterasa/... http://ecentral.my/services/sprinterfriendly.asp?f... http://www.jstor.org/action/doBasicSearch?Query=%2...